Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

31.10.2016_MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL PENGIKTIRAFAN BRUNEI G.A.P SEMPENA HARI PELADANG, PETANI, PENTERNAK DAN NELAYAN 2016

​Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah mengadakan majlis Sembahyang Fardhu Maghrib Berjemaah, Sembahyang Sunat Hajat, Membaca Surah Yassin dan bertahlil serta Membaca Doa Kesyukuran sempena sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan 2016 pada hari Isnin, 30 Muharram 1438H bersamaan 31 Oktober 2016M bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong.

Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan ini telah diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa baginda merasmikan Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2009 pada 19 November 2009 bertempat di Taman Agroteknologi Brunei, Kampong Tungku.

Dengan pengisytiharan itu, Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan telah disambut pada setiap 1 November setiap tahun bagi mengiktiraf dan mengenang jasa-jasa para peladang, petani, penternak dan nelayan dalam peranan mereka selaku penjana makanan bagi negara ini.

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Turut sama hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan dari Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Juga hadir ialah peladang-peladang, petani-petani, penternak-penternak dan nelayan-nelayan serta pengusaha-pengusaha agrimakanan di seluruh negara.

Aturcara di majlis ini termasuklah Sembahyang Fardhu Maghrib Berjemaah diikuti dengan membaca Surah Yassin dan bertahlil dan membaca doa kesyukuran. Majlis berakhir dengan Sembahyang Isya' berjemaah.

Majlis diselitkan dengan penyampaian Sijil Pengiktirafan BRUNEI GAP (Amalan Pertanian Baik Brunei) kepada salah sebuah syarikat perusahaan pertanian iaitu Syarikat EcoNadi Agrobiz yang telah berjaya memenuhi kriteria-kriteria Brunei GAP dan mendapat pengiktirafan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan pada bulan Mei 2016.

Syarikat EcoNadi Agrobiz bertapak di Kg Bukit Udal dan Kg Bangunggos, Mukim Tanjong Maya Tutong yang diusahakan oleh Hj Mohd Ayub bin Suhaili dan Khairuddin bin Mohamad sejak April 2014. Syarikat tersebut adalah salah satu syarikat yang menggunakan sistem tanaman fertigasi seluas 0.6 hektar bagi pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran dan fokus utama syarikat tersebut adalah pengeluaran tanaman lada untuk pasaran domestik.

Dengan mengikuti program pengiktirafan BRUNEI GAP, sistem pertanian yang dijalankan oleh ladang tersebut telah dapat dipertingkatkan oleh peladangnya sendiri dan menjadi lebih bersistematik, mementingkan penggunaan racun kimia yang betul dan selamat, sistem penuaian dan pengendalian lepas tuai yang lebih fokus kepada keselamatan makanan dan kualiti produk.

Usaha syarikat tersebut adalah sangat-sangat dihargai oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan berharap supaya ianya dapat dijadikan contoh kepada peladang-peladang yang lain untuk menarik minat dalam mengikuti program pengiktirafan BRUNEI GAP. Manfaat yang diperolehi melalui pengiktirafan BRUNEI GAP, selain daripada meningkatkan sistem pertanian untuk menghasilkan produk yang selamat dan berkualiti, ianya juga memperluaskan peluang pemasaran produk-produk tanaman di pasaran domestik dan juga antarabangsa. Pengiktirafan GAP ini bukan sahaja dijalankan oleh negara ini bahkan ianya dijalankan oleh setiap negara ASEAN untuk memudahkan perdagangan serantau. 

Tempoh pengiktirafan BRUNEI GAP yang diberikan kepada syarikat EcoNadi AgroBiz adalah selama 3 tahun dengan pemantauan berterusan daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk sama-sama memastikan amalan GAP sentiasa terjaga dan sebaiknya dipertingkatkan dari masa ke semasa.  Selain daripada Syarikat EcoNadi Agrobiz, Syarikat Ladang Tunas Harapan juga telah dianugerahkan pengiktirafan BRUNEI GAP untuk kali kedua pada 7hb Disember 2015 bagi tanaman sayur-sayuran dalam sistem rumah terlindung bertapak di Ladang Si Bongkok, Kg Masin Brunei Muara.

 

/TAMAT.

Tarikh: 31 Oktober 2016

Dikeluarkan oleh:

Unit Perhubungan Awam, Bahagian Pengurusan dan Kewangan

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Negara Brunei Darussalam

Attachments