Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

12.11.2016_PEMBUKAAN RASMI REBAN AYAM TERTUTUP PERUSAHAAN RIZA FUDHLANA FARMING

Acara pembukaan rasmi reban ayam tertutup (Unit 6 dan 7) telah dirasmikan oleh Tetamu Kehormat Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan pada hari Sabtu, 12 Safar 1438 bersamaan 12 November 2016. 

Perusahaan Riza Fudhlana Farming adalah salah satu anak syarikat di bawah naungan Riza Group. Perusahaan ini menggunakan teknologi sistem reban ayam tertutup yang mana ianya boleh menampung 20,000 hingga 23,000 ekor ayam setiap pusingan. Perusahaan ini diusahakan di Kawasan Kemajuan Pertanian Tanah Tuah Bebatik Kulapis dengan keluasan sebanyak 4ha.

Menurut Pengurus Syarikat Riza Fudhlana Farming, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman, pada awal penubuhan syarikatnya hanya memiliki dua buah reban. Syarikat itu terus menampakkan perkembangan yang positif dan progresif dengan penambahan lagi dua buah reban ayam tertutup pada tahun 2015. Perancangan perusahaan adalah bagi membangun sembilan (9) buah reban ayam tertutup di kawasan berkenaan.  Pada masa ini, terdapat enam (6) unit reban sedang beroperasi secara sepenuhnya, dimana ianya menghasilkan sebanyak 29 tan ayam pedaging dalam setiap reban sepusingan.  Satu (1) unit reban sedang dalam pembinaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun 2016 dan satu (1) unit reban ayam tertutup lagi masih didalam perancangan dan akan diusahakan pada masa yang terdekat. Pada tahun 2015, syarikat ini telah berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 269 mt daging ayam bernilai $1.23 juta.

Pembukaan 2 unit reban ayam tertutup ini berkemampuan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan pengeluaran hasil ladang. Seterusnya Yang Berhormat Menteri dibawa meninjau perkembangan projek pembinaan Unit 9.

Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sentiasa memberikan sokongan yang berterusan melalui khidmat nasihat, penyediaan kawasan yang bersesuaian dalam mengusahakan ternakan ayam lebih-lebih lagi di dalam penggunaan teknologi.  Ini akan dapat meningkatkan produktiviti dan pengeluaran ayam pedaging bagi pasaran tempatan dan seterusnya menembusi pasaran luar negara.

Hasil keseluruhan ayam pedaging pada tahun 2015 ialah sebanyak 23,264 tan metrik dengan nilai pasaran sebanyak $106.79 juta iaitu sumbangan sebanyak 54.17% dari nilai keluaran kasar keseluruhan industri ternakan atau 29.16% dari nilai keluaran kasar keseluruhan Pertanian & Agrimakan.

Sehubungan dengan itu, Jabatan juga menyarankan lebih ramai lagi pengusaha ayam pedaging untuk berkecimpung di dalam penggunaan teknologi tinggi secara progresif dan produktif. Perusahaan ini akan dapat meningkatkan industri ternakan dan mampu menjana keluaran dalam negara kasar (KDNK). 

Attachments