Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

19.11.2016_JERAYAWARA KESEDARAN AWAM MENGENAI PROSEDUR PENGIMPORTAN KOMODITI PERTANIAN DAN PERIKANAN DI BAWAH KAWALAN KSSUP

19 Safar 1438H /19 November 2016

Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam

DEWAN SETIA PAHLAWAN, BANGUNAN KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN - Jerayawara kesedaran awam mengenai prosedur pengimportan komoditi-komoditi pertanian dan perikanan di bawah kawalan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan merupakan salah satu program tahunan yang bertujuan bagi memberikan penerangan kepada orang ramai, khususnya para pengusaha dan pengimport, tentang prosedur dan peraturan mengimport komoditi-komoditi berkenaan, dan termasuklah bahan-bahan yang berkaitan dengan nya seperti baja, racun kimia pertanian, makanan ternakan dan sebagainya.

Taklimat-taklimat yang disampaikan semasa jerayawara berkenaan akan dapat memberikan penjelasan yang lebih dekat lagi tentang tatacara untuk mendapatkan permit atau lesen import serta syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi memudahcara urusan pengimportan komoditi-komoditi berkenaan, sama ada secara persendirian atau komersil. Selain itu, jerayawara juga bertujuan untuk mengurangkan kes-kes ketidak-patuhan dalam proses import sepertimana yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, dan Jabatan Perikanan; yang mana kes-kes sedemikian pernah didapati terjadi di pos-pos kawalan darat, lapangan terbang, pelabuhan dan melalui mel udara.

Taklimat-taklimat yang disampaikan telah dapat memberikan kefahaman mengenai syarat-syarat import bagi komoditi-komoditi pertanian dan perikanan, serta bahanbahan yang berkaitan dengan nya kepada orang ramai terutamanya kepada pengusaha-pengusaha tempatan, syarikat-syarikat pengimport komersial serta agensi-agensi penguatkuasaan yang bertugas di pos-pos kawalan rentas sempadan. Syarat-syarat import bagi komodti-komoditi berkenaan adalah berpandukan kepada langkah-langkah Sanitary and Phytosanitary (SPS) antarabangsa yang telah ditetapkan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti World Organisation for Animal Health (OIE), International Plant Protection Convention (IPPC) dan CODEX Alimentarius.

Taklimat juga meliputi penerangan mengenai kepentingan untuk mendapatkan Sijil Kesihatan Haiwan (Veterinary Health Certificate) dan Sijil Fitosanitari atau Sijil Kesihatan Tumbuhan (Phytosanitary Certificate) daripada pihak-pihak yang berwajib di negara-negara pengeksport. Dokumen berkenaan merupakan pengesahan atau jaminan daripada Negara Pengeksport bahawa komoditi pertanian atau perikanan yang di eksport ke Negara Brunei Darussalam adalah selamat dan bebas daripada sebarang agen pembawa penyakit, hama atau serangga perosak tumbuhan. Selain daripada permit atau lesen import, dokumen ini juga sangat penting untuk disertakan semasa mengisytiharkan komoditi pertanian dan perikanan yang di import di pos-pos kawalan.

Taklimat juga menjelaskan bahawa kuantiti kemasukkan pengimportan komoditikomoditi pertanian dan perikanan bagi pengimport komersil adalah tidak terhad. Manakala kuantiti pengimportan persendirian adalah tertakluk kepada syarat-syarat import yang telah ditetapkan oleh Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Kepentingan untuk mendapatkan permit atau lesen import adalah bagi memudahcara proses kemasukkan komoditi-komoditi pertanian dan perikanan melalui pos-pos kawalan di Neagra ini, yang memerlukan pemeriksaan dengan lebih bersistematik dan efisien daripada agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan yang berkaitan. Ini adalah bagi memastikan tahap keselamatan komoditi atau barangan yang diimport adalah terbukti selamat untuk digunakan, bebas dari sebarang agen-agen pembawa penyakit, hama atau serangga perosak, dan seterusnya akan melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna dan orang awam, dan termasuklah kesejahteraan alam sekitar. Pemeriksaan yang dilakukan juga bertujuan bagi melindungi industri-industri pertanian dan perikanan tempatan daripada ancaman agen-agen pembawa penyakit atau serangga perosak yang dibawa oleh komoditi import, jika tidak di kawal kemasukkan nya.

Secara amnya, permit atau lesen import akan dikeluarkan tertakluk kepada jenis komoditi atau barangan yang akan diimport dan tujuan pengimportannya, secara persendirian atau komersil. Bagi pengimportan komoditi pertanian dan perikanan secara komersil, proses permohonan permit atau lesen import boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan BDNSW (Brunei Darussalam National Single Window) dengan melayari laman sesawang di www.bdnsw.gov.bn. Manakala bagi pengimportan persendirian pula, orang ramai bolehlah memohon permit atau lesen import melalui kaedah online di http://biz.bruneimipr.gov.bn/eMIPR atau melayari laman sesawang www.mprt.gov.bn. Dokumen-dokumen bagi permit atau lesen import yang telah diluluskan akan dikeluarkan oleh pihak agensi-gensi kerajaan yang berkenaan dan orang ramai bolehlah mengambilnya ditempat-tempat yang telah ditetapkan serta menjelaskan kadar bayaran yang telah ditetapkan jua.

Jerayawara yang telah diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Bangunan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan pada hari Sabtu, 19 Safar 1438H bersamaan dengan 19 November 2016 itu telah di hadiri oleh para pengusaha-pengusaha pertanian dan perikanan, pengimport-pengimport komoditi pertanian dan perikanan yang menetap di Daerah Brunei Muara serta wakil-wakil dari Jabatan-Jabatan Kerajaan, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong dan ahli-ahli daripada Persatuan Majlis Perundingan Kampong (MPK) di Daerah Brunei Muara. Insya Allah, Jerawayara ini akan dilaratkan ke Daerah-Daerah yang lain pada masa-masa terdekat.

 

/TAMAT.

Tarikh: 22 November 2016 

Dikeluarkan oleh:

Unit Perhubungan Awam, Bahagian Pengurusan dan Kewangan

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Negara Brunei Darussalam

Attachments