Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

30.10.2016_MESYUARAT PERTAMA LEMBAGA PELANCONGAN BRUNEI DARUSSALAM BANDAR SERI BEGAWAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah mengadakan mesyuarat yang pertama Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam setelah  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, memperkenankan undang-undang yang baru ia itu  Tourism Order, 2016, atau Perintah Pelancongan, 2016, yang berkuat kuasa mulai 26hb Oktober 2016. 

Di antara objektif utama Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam ini ditubuhkan, ianya adalah sebagai platfom bagi Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk mengadakan permuzakarahan dengan berbagai pihak yang berkepentingan dalam industri pelancongan seperti Kementerian-Kementerian yang berkenaan, pengusaha-pengusaha perhotelan, pengusaha-pengusaha  pengangkutan,  ejen-ejen  pelancongan   dan perjalanan, pengusaha-pengusaha sajian dan makanan, dan lain-lainnya. Permuzakarahan ini adalah  penting  untuk  mendapatkan  pandangan  dan  buah fikiran serta untuk mendengar apa jua isu yang mungkin akan ditimbulkan oleh berbagai pihak dalam industri pelancongan ini. Dengan demikian, adalah diharapkan semua maklumat berkenaan akan dapat digunakan untuk memperbaiki sebarang kekurangan dalam usaha Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, khususnya Jabatan Kemajuan Pelancongan, mengembangkan industri pelancongan di Negara ini.

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah mengenalpasti tiga kategori utama produk pelancongan iaitu produk Prima, produk Emerging dan produk Activity-based. Produk Prima sudah sememangnya diiktiraf sebagai tarikan utama di kalangan pelancong-pelancong tempatan dan luar negara. Ini termasuklah Taman Negara Ulu Temburong dan sekitarnya, Kampong Ayer dan Mangroves, dan tempat-tempat yang menarik di sekitar Bandar Seri Begawan. Pada masa ini, terdapat beberapa produk Emerging  yang berpotensi untuk dinaik taraf dan dibangunkan sebagai produk utama. Ini termasuk pantai-pantai seperti Pantai Serasa dan Pantai Seri Kenangan, Taman Rekreasi seperti Hutan Simpan Berakas dan Sungai Basong. Produk-produk yang dikategorikan sebagai aktiviti-based  pula termasuklah aktiviti-aktiviti Menyelam; Bird-Watching; Pelancongan Islam; Pelancongan Perubatan Tradisional; Pelancongan Sukan; Kapal Persiaran (Cruise); Pelancongan Pendidikan; Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE); Adventure; dan Community-Based Tourism.

Dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini, dengan penglibatan beberapa Kementerian dan agensi berkenaan, Negara telah mencapai beberapa kemajuan dalam sektor pelancongan. Di antaranya ialah memudahkan bagi pelawat dari China, Taiwan, Russia, dan Turki ke Negara Brunei Darussalam. Jabatan Kemajuan Pelancongan jua telah melancarkan pakej percutian Temburong dan juga melancarkan risalah bagi Bird Watching. Melalui kerjasama dengan Laksamana College of Business, Jabatan Kemajuan Pelancongan telahpun memperkenalkan latihan mandatori bagi pemandu pelancong. Jabatan ini juga telah mengeluarkan Request For Proposal untuk membangunkan, mengurus, mengendali dan menyelenggara Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer di Kampong Lurong Sikuna. Melalui kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan juga telah memperkenalkan Heritage Trail di Bandar Seri Begawan, dan mulai awal tahun 2017, Jabatan Kemajuan Pelancongan akan mula menggunakan sebahagian dari bangunan bekas Dermaga Kastam Diraja, Bandar Seri Begawan, untuk dijadikan Pusat Maklumat Pelancong. Jabatan Kemajuan Pelancongan juga telah bekerjasama dengan sebuah penerbit majalah daripada negara Perancis, iaitu L'Essentiel, untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan. Satu lagi kejayaan Jabatan Kemajuan Pelancongan ialah penyediaan satu Pelan Strategik Pelancongan dengan sasaran utama untuk menggandakan jumlah pelancong yang datang ke negara ini melalui udara dari 218,000 orang pada tahun 2015 kepada 450,000 pada tahun 2020. Pada bulan Oktober yang lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah memperkenankan pengenalan sebuah undang-undang yang digelar Tourism Order, 2016, atau Perintah Pelancongan, 2016.

Dalam ucapan bagi mengalu-alukan ahli-ahli Lembaga Mesyuarat Pertama Lembaga Pelancongan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, selaku Pengerusi Lembaga Pelancongan Negara Brunei Darussalam, telah menyuarakan bahawa masih terdapat banyak perkara yang memerlukan penambahbaikan dan berharap agar Lembaga Pelancongan Negara Brunei Darussalam ini boleh dijadikan landasan untuk bertukar fikiran dalam mencari jalan bagi membangun lebih banyak produk-produk pelancongan dalam negara, dalam memperbaiki kualiti perkhidmatan dan layanan ke atas pelancong-pelancong, dan dalam mempastikan kepuasan pelanggan, termasuk dari segi keselesaan dan dari segi keselamatan mereka.  Kesemua ini akan dapat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi yang kompetitif dan menarik. Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan juga seterusnya menggesa agar ejen-ejen pelancongan dan pembekal produk dan perkhidmatan pelancongan untuk sama-sama membantu Kerajaan dalam memberigakan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah destinasi pelancongan yang dapat menawarkan pengalaman yang unik kepada pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar Negara. 

​Dikeluarkan oleh:

Jabatan Kemajuan Pelancongan

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Negara Brunei Darussalam

Tel: (673)2382822 ext 2203

Attachments