Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

07.01.2017_MAJLIS PELANCARAN PAKEJ PELANCONGAN BANDAR SERI BEGAWAN DAN KAMPONG AYER WARISAN NEGARA BANDAR SERI BEGAWAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Sabtu, 7hb Januari 2017, 2.30 petang

Dermaga Di Raja, Bandar Seri Begawan

Satu majlis pelancaran Pakej Pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara telah diadakan pada hari Sabtu, 7hb Januari 2017 jam 2.30 petang bertempat di Galeri Seni, Dermaga Di Raja, Bandar Seri Begawan. Pakej Pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara telahpun secara rasminya dilancarkan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; dan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pakej Pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara merangkumi 8 pakej pelancongan iaitu Full Day City and Water Village Tour, Half Day City Tour,  Kampong Ayer, Sunset River Safari, Night City Tour, Heritage Drive, Bandar Seri Begawan Walking Tour, dan Proboscis Monkey Tour. Pakej ini merupakan kesinambungan kepada Pakej Percutian Temburong yang mana telahpun dilancarkan pada 1hb September 2016 yang lalu oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam usaha mengukuhkan primary produk pelancongan di negara ini.

Di antara objektif utama pelancaran Pakej Pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara ini adalah bagi mengetengahkan produk-produk pelancongan yang sedia ada di Kampong Ayer dan Bandar Seri Begawan; meningkatkan usaha ejen-ejen pelancongan agar lebih aktif memasarkan produk-produk pelancongan samaada dalam negeri dan juga antarabangsa; menggalakkan ejen pelancongan untuk menawarkan indicative price yang berpatutan dan menggalakkan penduduk tempatan untuk melancong di dalam negeri terutamanya semasa musim cuti persekolahan.  

Selain pelancaran pakej pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara,  majlis menyaksikan pelancaran pameran Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Pameran dan penjualan ini melibatkan penyertaan Majlis Perundingan Kampong (MPK), ejen-ejen pelancongan dan pengusaha-pengusaha pelancongan dengan memberikan tumpuan utama kepada penjualan pakej-pakej pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer. Pameran dan jualan produk pelancongan ini dibukakan kepada orang ramai selama 2 hari iaitu bermula hari Sabtu, 7 Januari 2016 dari jam 4.30 petang sehingga 8.30 malam dan hari Ahad, 8 Januari 2016 dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang.

Majlis juga diselajurkan dengan perasmian Pusat Maklumat Pelancong oleh Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Pusat Maklumat Pelancong ini adalah bertujuan bagi memudahkan lagi para pelancong yang berkunjung di Negara ini untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat-tempat yang menarik dan kemudahan-kemudahan pelancongan di Negara ini.

Turut sama dilancarkan ialah Jejak Warisan (Heritage Trail) Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Jejak Warisan (Heritage Trail) Brunei Darussalam  ini adalah merupakan projek Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi memelihara dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap tapak-tapak dan bangunan-bangunan sejarah di Bandar Seri Begawan, yang telah diwartakan di bawah Akta Purbakala dan Harta Terpendam 1967 edisi semakan 1984, 1991 dan 2002.

Aturcara majlis juga diserikan dengan aktiviti menyusuri Sungai Brunei dengan menaiki kapal persiaran MV Sentosa yang mana juga disertai oleh Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah, Menteri Pembangunan; Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, Menteri Kesihatan; Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Menteri Perhubungan; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ahli-ahli Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam, dan jemputan-jemputan khas yang lain. Kapal persiaran MV Sentosa ini merupakan kapal persiaran yang menawarkan perkhidmatan menyusuri Sungai Brunei dan bagi menyaksikan pemandangan persekitaran Kampung Ayer.

Tetamu-tetamu khas yang hadir jua dijemput menyaksikan pameran Bandar Seri Begawan: Bandar Raya Kebudayaan ASEAN, yangmana bandaraya ini telah diisytiharkan sebagai Bandaraya Kebudayaan ASEAN (ASEAN City of Culture) pada 24 Ogos 2016 sehingga Aril 2018 nanti. Turut dipamerkan ialah kegiatan-kegiatan kesenian dan kebudayaan yang ada di Bandar Seri Begawan serta pameran lukisan-lukisan dari koleksi Jabatan Muzium-Muzium Brunei dan artis-artis negara. Lukisan-lukisan tersebut dikaryakan bersama pelukis-pelukis tempatan dari Rainforest Gallery dan dari Negara China semasa lawatan mereka ke daerah Temburong pada bulan November yang lalu. Keindahan alam semulajadi dan persekitaran Daerah Temburong dapat dilihat dengan jelas pada lukisan-lukisan yang dipamerkan.

Dengan adanya pelancaran Pakej pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer ini akan dapat mengukuhkan lagi pakej-pakej pelancongan yang sedia ada disamping memastikan ianya menarik, selesa dan selamat bagi kunjungan para pelancong.

Bagi memeriahkan lagi pelancaran ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Bandaran dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan beberapa aktiviti sampingan bermula petang Sabtu sehingga keesokan harinya yang dimuatkan dengan gerai-gerai jualan, aktiviti-aktiviti permainan-permainan kanak-kanak dan pertunjukan di Dermaga Diraja. Seterusnya satu lumba perahu tradisi anjuran Majlis Perundingan Kampung Kota Batu, Pintu Malim, Sungai Lampai, Mukim Kota Batu diadakan di perairan sungai Brunei mulai jam 8 pagi hingga 5 petang pada 8hb Januari 2017. Sukan ria juga akan diadakan bertempat di padang Taman Omar 'Ali Saifuddien di ibu Negara. Kesemua acara-acara ini adalah sebagai mendokong kepada program Bandarku Ceria yang diadakan pada setiap hari Ahad.

 

/TAMAT.

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan;

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; dan

Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Attachments