Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

9.02.2017_SESI MUZAKARAH KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN BERSAMA YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA

Bandar Seri Begawan. Khamis, 9 Februari 2017M. Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini telah berkunjung ke Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bagi Sesi Muzakarah yang diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara seramai 20 orang, diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Hafimi binti Abdul Haadii. Sesi Muzakarah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Mulia Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali, Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan), Pengarah-Pengarah Jabatan dan Ketua-Ketua Bahagian serta pegawai-pegawai kanan Kementerian berkenaan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dalam ucapannya antara lain telah menyentuh mengenai penekanan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk mempertingkatkan usaha-usaha menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang membabitkan penyertaan semua stakeholders samada di pihak kerajaan mahu pun di pihak swasta, terutama para peladang-peladang dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan, perhutanan dan pengusaha-pengusaha sektor pelancongan.

Pada waktu yang sama juga, memerlukan penglibatan langsung pelabur-pelabur daripada dalam dan luar negeri, sama ada melalui usahasama (JV) dan juga secara contract farming bagi membantu mempercepatkan lagi pertumbuhan keluaran dari sektor-sektor berkenaan.

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah pun melancarkan 'Pelan Strategik Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan 2016 – 2020' yang disempurnakan pada awal tahun ini.

Visi Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan ialah "Ke Arah Pertumbuhan Pesat Keluaran Industri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Sehingga Mampu Menyumbang Kepada Pertumbuhan Ekonomi demi Mencapai Wawasan Brunei 2035." Sementara misi nya pula ialah "Menerajui pertumbuhan keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan untuk menjadi penyumbang yang signifikan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negara, dan dengan memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi tinggi, serta memfokus kepada pasaran eksport."

Secara amnya, semua usaha Kementerian adalah berlandaskan kepada empat (4) teras utama yang meliputi (i) Pertumbuhan KDNK (Growth); (ii) Peningkatan Produktiviti; (iii) Peningkatan Eksport; dan (iv) Peningkatan Kedayatahanan (Sustainability). Taklimat ringkas mengenainya telah pun juga disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) sejurus selepas ucapan aluan-aluan Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.  

Seperkara yang telah mendapat perhatian Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara adalah berhubung dengan kepentingan peningkatan produktiviti yang dijadikan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Peningkatan produktiviti yang berterusan akan dapat membantu mempercepatkan lagi pertumbuhan dalam pengeluaran, mengurangkan unit kos dan mempertingkatkan lagi daya saing sehingga membolehkan kita menembusi pasaran eksport. Sehubungan itu, adalah diharapkan agar penggunaan teknologi baru, teknik-teknik moden, inovasi dan automasi dalam sesuatu pengeluaran produk dan perkhidmatan dapat dipergunakan dan diadaptasikan secara meluas. Pada hakikatnya, semua usaha-usaha Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui sektor-sektor pertanian, perikanan dan perhutanan dan industri pelancongan akan menjana peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat dan penduduk tempatan disamping sasaran untuk mempertingkatkan sumbangan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sesi Muzakarah diselajurkan dengan soalan-soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang mana kesemuanya telah dijawab oleh pihak Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

 

- Sekian -

Attachments